Thursday 11 July 2013

LAGU 1: DERITA BY OKID






LIRIK

Buka mata dan lihatlah
Insan kecil yang tak berdosa
Jadi mainan dan hinaan semua
Manusia yang tiada berpedoman

Apakah salah mereka
Menjadi mangsa yang terbiar
Dia diseksa tanpa rasa simpati
Hanya melihat darah merah mengalir ke bumi...

Sengsara kan terasa...
Di sepanjang hayatnya...
Tangisan tak bersuara
Insan yang sekecil tu... Merasa
Peritnya derita....
Ditanggung jua...

Mengapa dia disiksa
Hingga lesu tak bermaya
Haruskah kita menyaksikan
Penderitaan pada mereka

Apa nasib mereka jika ini masih terjadi
Kita sama sama membantu
Melindungi hidup mereka..

Mereka perlukan perhatian
Bukan penyiksaan yang diminta
Berikan kasih dan belaian mesramu
Moga diberi petunjuk dan hidayah yang sejati...

KOMEN LAGU

Lagu ini menceritakan bagaimana hak kebebasan dan keselamatan kanak-kanak dicabuli oleh orang dewasa dengan penderaan yang menyebabkan kecederaan fizikal yang serius.

Perkara ini melanggar fitrah hak asasi manusia dan mencemar rasa hormat kepada orang dewasa yang boleh berfikir dan matang yang sepatutnya bertanggungjawab melindungi dan memberi kasih sayang kepada kanak-kanak.

Kes penderaan ini bukan sahaja memberi kesan terhadap fizikal kanak-kanak malah impak negatif kepada mental dan emosi kanak-kanak yang boleh menyebabkan hilang kewarasan, fobia dan mungkin mengundang kepada gejala negatif berkaitan keganasan yang akan dilakukan semula oleh kanak-kanak sebagai membalas dendam.

Dalam lagu ini turut menyatakan bahawa kanak-kanak tidak ada dosa atau silap yang menyebabkan mereka diberi hukuman yang kejam. Kanak-kanak sepatutnya dididik dan diberi nasihat sekiranya melakukan kesalahan kerana mereka masih tidak dapat berfikir dengan matang dan masih dalam proses pembelajaran dalam mengenali diri sendiri. Kanak-kanak juga tidak mempunyai daya dan kudrat yang tinggi untuk melindungi dirinya sendiri. Jadi orang dewasa tidak sepatutnya mengambil kesempatan di atas kelemahan kanak-kanak demi kepuasan diri sendiri.

Kes penderaan terhadap kanak-kanak ini perlu dihentikan dan pesalah kes harus diberi hukuman berat sebagai pedoman kepada masyarakat agar tidak mengulangi perkara yang sama demi kepentingan kesejahteraan dan masa depan sejagat.

No comments:

Post a Comment