Thursday 11 July 2013

15 GRO termasuk seorang 'PONDAN' ditahan Imigresen Melaka

MELAKA: Lima belas warga Thailand termasuk seorang 'pondan' dipercayai pelayan pelanggan (GRO) adalah antara 21 warga asing yang ditahan Jabatan Imigresen Melaka dalam operasi di sekitar Melaka, semalam.
Pengarahnya, Kamalludin Ismail, berkata wanita dan 'pondan' yang berusia lingkungan 18 hingga 36 tahun itu ditahan di sebuah pusat hiburan di Taman Merdeka Permai di sini ketika sedang melayan pelanggan di dalam beberapa bilik berasingan.
Beliau berkata, serbuan yang membabitkan 17 pegawai dan anggota dalam operasi dari 6 petang hingga 12 tengah malam itu adalah yang kedua di premis berkenaan pada tahun ini.
 
"Ketika serbuan, tiga daripada mereka cuba melarikan diri melalui pintu belakang, namun dapat dihalang oleh anggota penguatkuasa," katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.

Beliau berkata, kesemua mereka ditahan kerana disyaki melanggar syarat pas, permit atau pas sempadan dan menggunakan pas lawatan sosial untuk melakukan aktiviti tidak bermoral.

Sementara itu, dua wanita pekerja kilang dari Indonesia yang sedang asyik menyanyi di sebuah pusat karaoke di Plaza Mahkota di sini turut ditahan pihak imigresen.

Kamalludin berkata, pihaknya juga menahan tiga lelaki Indonesia dan seorang lelaki Bangladesh di sebuah rumah dan kedai sekitar Melaka Raya di sini atas kesalahan masuk dan tinggal tanpa permit yang sah dan permit tamat tempoh atau dibatalkan.
Katanya, kesemua yang ditahan dibawa ke Depoh Tahanan Machap Umboo, Alor Gajah untuk tindakan lanjut. - BERNAMA

Sumber: BERITA HARIAN

1 comment:

  1. Komen saya :

    Isu pondan ini merupakan isu yang membawa kepada dilema. Dalam Islam, menukar jantina adalah haram dan dilaknat Allah. Namun mengikut hak asasi manusia, dunia kini menganggap ianya merupakan hak peribadi individu untuk memilih cara hidup mereka sendiri. Walaubagaimanapun, sebagai seorang Islam, kita perlu mengikut hukum yang telah ditetapkan oleh Allah Taala kerana kita adalah hambaNya yang tidak berdaya dan menumpang di bumiNya.

    ReplyDelete