Monday 19 August 2013

KESEDARAN ALAM SEKITAR



SERAMAI 64 murid mewakili 16 sekolah rendah di Shah Alam berpeluang mengikuti program Perintis Hijau 2013 anjuran syarikat pengeluar baja tempatan, Chemical Company Of Malaysia Berhad (CCM) dan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) baru-baru ini.

Antara sekolah rendah terbabit seperti Sekolah Kebangsaan (SK) Jalan U3, SK Setia Alam, SK Merbau Sempak, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina SJK (C) Sungai Buloh, SK Padang Jawa, SK Raja Muda (Intergrasi), SK Seksyen 17, SK Seksyen 19 dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil SJK (T) Sungai Renggam.

Pada program itu yang disempurnakan perasmiannya oleh Timbalan Datuk Bandar Shah Alam, Tuan Mokhtar Hani, murid diberi penerangan mengenai tata cara berkebun, menyemai benih, membaja dan seni taman dan mengenali pokok berbahaya dan kaedah yang betul menjaga pokok hiasan.

Pengarah Bahagian CCM Fertilizers, Mohd. Raflee Abdullah berkata, penganjuran kali kelima tahun itu diadakan untuk memperkasakan pengetahuan murid mengenai penjagaan alam sekitar melalui aktiviti penjagaan flora, berkebun dan penjagaan persekitaran tumbuhan hijau.
Menurutnya, program itu perlu diketengahkan kepada generasi muda memberi pelbagai manfaat dan meningkatkan kesedaran alam sekitar selain menyalurkan kemahiran seperti pemikiran kritikal, penyelesaian masalah, komunikasi dan permuafakatan.

''Ini kerana, golongan kanak-kanak merupakan pewaris negara pada masa depan dan kita percaya, mereka harus dididik ketika masih muda kerana mudah dilentur dan berminat untuk belajar.
''Pada masa sama, kerjasama dengan MBSA dalam menjayakan program alam sekitar seperti ini dapat diteruskan seterusnya mendidik lebih ramai murid tentang amalan lestari dan penjagaan alam sekitar,'' kata beliau.

Menurut beliau, pada program itu, murid dibawa melawat kilang CCM Fertilizers di Padang Jawa, Klang dan diberi taklimat mengenai operasi pengeluaran baja dan produk itu dihasilkan selain menganjurkan 'Mini Explorace Golden Growth'.

Jelasnya, di bawah program 'Mini Explorace Golden Growth', murid dikehendaki melalui empat pusat pemeriksaan berlainan bagi menguji pengetahuan mengenai alam sekitar dan kemahiran berkebun.



© Utusan Melayu (M) Bhd 

2 comments:

  1. bagus..sekarang orang lagi banyak hancurkan alam dari hijaukan alam..semua ini sebab gilakan pembangunan

    ReplyDelete
  2. bumi sekarang da tenat dirosakkan oleh tangan2 manusia yang rakus~

    ReplyDelete