Monday 19 August 2013

KANAK-KANAK DIDERA MASIH KRITIKAL



IPOH 18 Ogos - Kanak-kanak perempuan berusia lima tahun yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) yang dipercayai didera dengan kejam kini dilaporkan semakin kritikal.

Ketua Jabatan Pediatrik HRPB, Datuk Dr. Amar Singh berkata, kanak-kanak malang itu masih koma dan bergantung kepada mesin bantuan hayat.
Menurut beliau, pihaknya mengesyaki kanak-kanak itu mengalami kecederaan dalaman, namun pemeriksaan imbasan tidak dapat dilakukan memandangkan keadaannya yang terlalu lemah.

"Namun, pihak hospital menggunakan segala kemudahan yang ada bagi merawat dan memulihkan kanak-kanak malang ini sejak dia dimasukkan ke hospital pada Khamis lalu," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar bersama Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat dan Integrasi Nasional negeri, Datuk Rusnah Kassim yang melawat kanak-kanak tersebut hari ini.

Kelmarin, seorang pegawai perubatan HRPB, Dr. Mohd. Safwan Adnan yang merawat kanak-kanak itu membuat aduan kepada polis selepas mendapati mangsa mengalami kecederaan teruk di seluruh badan dipercayai akibat didera.

Kanak-kanak malang itu dibawa ke hospital oleh bapanya.
Susulan laporan polis tersebut, ibu bapa kanak-kanak itu yang berusia 30 dan 39 tahun direman tiga hari bermula semalam dan kes itu disiasat di bawah Seksyen 31 (1) Akta Kanak-Kanak 2001 dan Seksyen 325 Kanun Keseksaan kerana mendera.

Sementara itu, Rusnah memberitahu, JKM Perak mengambil abang dan adik kanak-kanak malang tersebut yang berusia lapan dan dua tahun untuk ditempatkan di bawah jagaan jabatan tersebut bagi diberikan perlindungan sementara.
"Siasatan awal mendapati kedua-duanya (abang dan adik mangsa) itu tidak mempunyai sebarang kesan penderaan.

"Kita bersimpati dengan nasib yang menimpa kanak-kanak perempuan ini, namun kita perlu menunggu hasil siasatan sebelum sebarang tindakan dapat diambil," katanya.
Mengulas insiden tersebut, Rusnah berharap masyarakat sekeliling mengambil iktibar daripada kejadian itu supaya tidak berulang pada masa hadapan.



© Utusan Melayu (M) Bhd 

2 comments: