Tuesday, 17 September 2013

BRITAIN LARANG PELAJAR KOLEJ MEMAKAI HIJAB

KOLEJ Birmingham Metropolitan, England, Britain  baru-baru ini mengeluarkan dasar melarang pelajar Islam memakai tudung atau pakaian menutup muka bagi tujuan keselamatan dan supaya mudah dikenali pada setiap masa.
Pengharaman memakai tudung dan purdah diumumkan kepada pelajar bagi sesi baru permulaan pengajian di kolej itu minggu lalu, menyebabkan beberapa pelajar berpindah ke kolej lain.
Seorang pelajar, Imaani Ali, 17, berkata dasar itu seperti menceroboh kebebasannya malah pihak kolej juga tidak memberi alternatif lain.
“Saya dan rakan-rakan yang memakai tudung hanya diberitahu mengenai larangan itu ketika proses pendaftaran. Pihak keselamatan juga menyekat kemasukan kami di perkarangan kolej.
“Tindakan ini satu diskriminasi beragama. Ini agama saya dan ini kepercayaan saya. Saya tidak mahu ke tempat yang tidak boleh menerima saya namun saya tiada pilihan lain ketika ini,” katanya.
Seorang lagi pelajar 17 tahun yang enggan dikenali berkata, beliau nyata kecewa dengan dasar itu dan telah membuat keputusan untuk berpindah ke kolej lain di bandar.
“Ini satu pemikiran dangkal. Keputusan memakai tudung adalah hak peribadi. Saya sangat terkejut apabila isu ini dibangkitkan memandangkan di sini terdapat ramai pelajar Muslim dan berbilang budaya.
“Saya tidak rasa tudung akan mengganggu pembelajaran dan komunikasi dengan orang lain kerana saya tidak pernah mempunyai masalah dengan mereka,” katanya.
Bagi pelajar A-Level Suleman Hussain, 17, turut tidak bersetuju dengan garis panduan terbaru itu.
“Mereka datang ke kolej untuk belajar, bukannya akan membawa bom dan membuat kacau,” katanya.
Bahas di Parlimen
Susulan pengharaman itu, isu berhijab ini dibangkitkan di Parlimen.
Ahli Parlimen Kattering, Philip Hollobone yang menolak penampilan menutup aurat menyuarakan isu ini kepada ahli bebas dan beliau menjawab tindakan itu menyalahi undang-undang dalam kebebasan kehidupan di Britain.
Pengetua dan Ketua Eksekutif kolej, Dame Christine Braddock mempertahankan dasar itu dengan mengatakan, ia telah lama digunakan dan diperkenalkan untuk memastikan keselamatan pelajar terjamin.
“Kami mempunyai aspek kesaksamaan, kepelbagaian dan penyertaan dasar mantap di Kolej Birmingham Metropolitan, tetapi kami juga komited dalam memastikan persekitaran pembelajaran yang selamat.
“Ia adalah untuk memudahkan pelajar dikenal pasti ketika berada di dalam kawasan kolej dan ia termasuk tidak mengenakan topi, hoodies dan tudung supaya wajah mereka sentiasa kelihatan,” katanya dipetik Mail Online
Terima peraturan demi keselamatan
Bagi Presiden Persatuan Muslim Britain, Omer El- Hamdoon berkata, pelajar di kolej itu perlu menerima dan mematuhi dasar ditetapkan.
“Sesetengah mereka mungkin berpendapat ia adalah sebahagian daripada agama, tetapi mereka perlu praktikal. Contohnya jika anda ke bank menaiki motosikal anda perlu menanggalkan topi keledar supaya dikenali.
“Sama juga ketika menduduki peperiksaan, pihak kolej perlu tahu siapa yang sedang menjawab kertas peperiksaan. Terdapat segelintir mereka merasakan ia menceroboh kebebasan bersuara, tetapi mereka perlu patuh kepada peraturan,” katanya.
Menurut Chante Young, 17, yang mengambil jurusan perniagaan, pengharaman itu nyata membuatnya berasa lebih selamat.
“Anda tidak akan tahu siapa si pemakainya kerana seluruh wajah ditutup dan hanya mata yang kelihatan,” katanya.
Dalam satu kes di mahkamah dua minggu lalu, hakim Peter Murphy menyuruh seorang wanita berumur 21 tahun menanggalkan tudung sebelum dibenarkan membuat rayuan.
Wanita itu menolak permintaan tersebut kerana terdapat lelaki di dalam bilik itu dan ia bertentangan dengan kepercayaan agamanya.
Hakim kemudiannya memberi amaran terdapat risiko orang lain menyamar dan berpura-pura menjadi dirinya masuk ke kandang tertuduh.
Sinar

Sunday, 25 August 2013

SOKONGAN WANITA BERHIJAB



Stockholm: Beratus-ratus wanita Sweden menyiarkan gambar mereka memakai tudung kepala dalam laman media sosial untuk menunjukkan sokongan kepada seorang wanita Islam yang hamil dan berkata dia diserang di luar bandar ini kerana memakai tudung.

Polis mencari saksi bagi kejadian itu yang dianggap sebagai jenayah kebencian dan mencetuskan satu bantahan ramai, kebanyakannya dilakukan secara online. 


Pertahan pakai hijab 


Tindakan itu didorong sebuah pergerakan bukan kerajaan yang mempertahankan pemakaian hijab yang mendapat sokongan ahli politik selebriti, manakala pengkritik mendakwa, perbuatan mereka adalah sokongan kepada simbol ‘penindasan’ ke atas wanita.

Ahli politik haluan kiri dan selebriti antara mereka yang memberi sokongan kepada pergerakan itu, digelar, “The hijab appeal,” dengan menghantar tweet diri mereka memakai tudung.

Menjelang Khamis lalu, lebih 2,000 orang menghantar gambar di tag dengan hashtag ‘hijab appeal’ dalam Instagram, kebanyakannya memaparkan wanita dengan kepercayaan berlainan, memakai tudung.

Satu acara dalam Facebook diwujudkan aktivis menarik 10,000 hadirin namun terpaksa dipadamkan selepas bahagian ulasan dipenuhi dengan kenyataan berbaur perkauman dan mencela wanita. 
“Kadar jenayah kebencian ke atas wanita Islam semakin meningkat akhir-akhir ini,” kata satu daripada penganjur kempen, Foujan Rouzbeh, kepada AFP.

Bagaimanapun, pengkritik berkata kempen itu meremehkan penderitaan wanita yang dipaksa atau ditekan untuk menutup rambut mereka, di Sweden dan di tempat lain.

“Saya menyokong bantahan ke atas layanan wanita yang diserang,” kata Sara Mohammad, ketua sebuah kebajikan untuk mangsa jenayah maruah.

Simbol Islam

“Bukan dengan memakai tudung, yang terkenal di seluruh dunia sebagai simbol Islam untuk penindasan wanita. 

“Ia bukan hanya dipaksa ke atas wanita di Iran dan Arab Saudi, ia juga menjadi bendera untuk politik Islam di Barat.”

Ahli politik Sweden memakai hijab minggu ini jarang memaparkan sokongan sama terhadap mereka yang memperjuangkan hak untuk tidak memakainya, sesetengah merisikokan nyawa mereka berbuat demikian, pertikai Mohammad.

“Ini adalah satu langkah tidak adil dan menyokong rakyat untuk menarik undian daripada masyarakat Islam,” katanya.

Rouzbeh berkata pengkritik kempen hijab Sweden mengambilnya keluar daripada konteks.

“Kami bukan cuba memperkecilkan pengalaman rakyat dipaksa memakai tudung, kami melakukannya berasaskan wanita bertudung yang memakainya dengan sukarela. Wanita ini mempunyai hak melakukannya tanpa diserang,” katanya.

Wanita Islam digunakan sebagai kambing hitam dalam berdepan pengangguran meningkat di Sweden dan seluruh Eropah, kata Rouzbeh, yang bertemu menteri kehakiman Rabu lalu.

1000 SAMSENG, BAKAR RUMAH, KEDAI


Yangon: Keganasan agama terbaru meletus di bahagian barat laut Myanmar lewat kelmarin apabila kira-kira 1,000 samseng membakar berpuluh-puluh rumah dan kedai selepas khabar angin menyatakan seorang wanita muda diserang secara seksual oleh seorang lelaki Islam. Tiada kecederaan dilaporkan.

Sekumpulan penduduk mengepung balai polis menuntut suspek diserahkan kepada mereka, kata seorang pegawai polis dari kawasan itu yang enggan dikenali. Apabila polis enggan, mereka mengadakan rusuhan dan mula membakar bangunan terbabit, katanya. Sami radikal Myanmar Wirathu, yang sering mengadakan ceramah anti Islam mengirimkan kenyataan menerusi laman Facebook dan berkata ratusan penduduk mengambil bahagian dalam rusuhan di pinggir Kantbalu. 




Rumah dimusnahkan

Kira-kira 35 rumah dan 12 kedai, kebanyakannya milik penduduk Islam dimusnahkan sebelum keadaan tenang kembali pulih, katanya.

Myanmar, negara yang mempunyai 60 juta penduduk dengan majoritinya beragama Buddha kerap terbabit dengan keganasan agama sejak pemerintah tentera negara itu menyerahkan kuasa kepada kerajaan awam pada 2011.

Lebih 250 orang dibunuh, kebanyakannya penduduk Islam, manakala 140,000 lain terpaksa melarikan diri dari rumah mereka. 
Rusuhan bermula tahun lalu di negeri barat Rakhine, di mana penduduk Buddha menuduh masyarakat Islam Rohingya secara haram memasuki negara itu dan menceroboh tanah mereka.

Keganasan itu, dalam skala kecil namun menyebabkan kematian, tersebar awal tahun ini ke bahagian lain Myanmar dan menimbulkan perasaan prejudis terhadap umat Islam